Sepanjang saya menulis blog ni, ada yang tanya, kenapa macam tak cerita sangat aspek teknikal dalam trading. Cerita technical analysis seolah tak ditekankan.
Pada saya, jika terlalu berpandukan teknikal semata adalah bahaya. Ada beratus jenis indikator, juga beratus strategi. Kebanyakannya juga bagus, selagi trader tahu menggunakannya. Saya juga dulu sering mencari-cari strategi baru dan mengikut teknikal semata mata.
Tetapi, macam saya beritahu berulang kali. Jika analisis teknikal menjadi panduan utamanya, ia umpama pisau yang tajam. Kalau si pemegang belum disiplinkan diri dan mahirkan kekuatan dalaman, akhirnya ia akan memakan tuan. Boleh melukakan diri sendiri. Bahkan boleh membawa maut. Dalam trading lebih bahaya, kerana luka dan maut itu makan dalam. Kecederaan parah dalam kewangan akan mempengaruhi banyak benda lain dalam kehidupan, apatah lagi jika wang yang dilaburkan melebihi dari kemampuan. Ambik masa lama nak sembuh. Dan biasanya jika start trade semula, trade itu akan disertai dendam untuk cover balik kerugian lepas. Dan itu sangat bahaya, kerana trade disertai emosi. Trade tidak boleh ada emosi. Perlu neutral setiap masa.
Sebab tu, trader akan datang dan pergi. Dan siapa yang belajar dari kesilapan, dan sentiasa meningkatkan kekuatan dalaman akan dapat bertahan.
Proses mendisiplinkan diri dan ketahanan psikologi bukan sehari dua, dan bukan cuma dipelajari secara teori. Ianya satu komitmen. Dan tak semua sanggup bertahan mendisiplinkan diri.
Disiplin bukan bermaksud mengikat diri, tapi lebih berpegang pada prinsip. Bila bila masa dia boleh lepaskan pegangan itu jika dia mahu, tapi kerana yakinnya hati, dia tak akan lepaskan pegangan. Jika disiplin dilihat sebagai ikatan, ianya akan memberi tekanan kepada trader itu. Dan tekanan tidak bagus dalam pembuatan keputusan.
Disiplin juga bermaksud, kita sendiri yang faham the rule dan obey it. Tanpa perlu dimonitor oleh bos atau orang lain. Jika kebergantungan itu masih kepada pihak lain, maka sukar untuk membuat keputusan tepat, dan trader belum boleh berdikari. Jadi perlunya mantapkan dulu disiplin diri, psikologi, juga money management. Andai masa yang diambil hingga setahun atau lebih, itu lebih baik, daripada tidak belajar langsung dari kesilapan.


